Sunday, 19 April 2009

Terima Kasih

Bismillahirrahmanirrahim..

Kadang-kadang apabila seseorang itu menerima kopiah dari Mekkah sebagai hadiah, betapa gembira dan berterima-kasihnya dia terhadap tuan haji yang budiman. Selepas sahaja mengucapkan terima kasih di masjid, disusuli pula dengan sms yang mengatakan betapa beliau menghargai hadiah tersebut.
Begitulah tindak balas kita terhadap budi baik yang diberi secara percuma, walaupun nilai hadiah tersebut tidaklah seberapa.Bagaimanakah pula tindak balas kita terhadap Allah swt yang telah memberikan kita sebiji kepala? Tanpa kepala kopiah yang mahal dan cantik pun tidak dapat dipakai.
Nikmat Allah swt tidak berakhir disitu sahaja. Kepala yang Allah swt kurniakan pun bukannya kosong. Diisikannya pula otak. Otak yang dikurniakannya, tidak pula dibiarkan manusia memasangnya sendiri, bahkan ianya dipasang oleh Allah swt dengan skru yang tidak terlalu ketat juga tidak terlalu longgar.
Skru yang terlalu ketat boleh merosakkan alat. Dan jika longgar pula nanti dikatakan " skru sudah longgar...".

Jika hendak dikira nikmat yang Allah limpahkan keatas kita, maka tidak akan terkira.
Soalnya, sudahkah kita berterima kasih pada Allah diatas nikmat yang diberikan? Berapa kali terlintas dihati kita, yang kita sangat berhutang budi dengan Zat yang Maha Pemurah dan Pengampun itu?

Sebutlah ALHAMDULILLAH , Segala puji hanya layak bagiMu wahai Tuhan yang Maha Agung!
[Moulana Umair]

No comments: