Sunday, 19 April 2009

Meyakini Kehidupan Akhirat

Bismillahirrahmanirrahim..

Kehidupan di akhirat adalah satu kehidupan yang berkekalan dan tiada kesudahan. Untuk menjadi mukmin yang sejati, meyakini tentang adanya hari akhirat adalah antara enam rukun Iman yang perlu diperkukuhkan.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Hadrat Umar Ibn Al-Khattab RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang mati dalam keadaan beriman kepada Allah swt dan hari akhirat, akan dikatakan kepadanya, "Masuklah kedalam syurga dari mana-mana lapan pintu syurga yang kamu kehendaki".
Antara perkara-perkara yang termasuk dalam keyakinan terhadap hari akhirat ialah meyakini bahawa adanya:

1- Kehidupan selepas mati.
2- Hari kebangkitan
3- Penghisaban
4- Titian sirat
5- Syurga
6- Neraka

Dalam menerangkan perkara-perkara ini, banyak ayat-ayat suci Al-Quran dan Hadith Nabawi yang menggambarkan setiap situasi tersebut. Tujuan Allah dan RasulNya membentangkan gambaran tersebut adalah supaya ummat manusia dapat meyakini bahawa wujudnya satu kehidupan yang semua manusia akan lalui.
Dalam satu riwayat, seorang sahabat yang tua telah menghadiri majlis Nabi SAW bersama sahabat-sahabat yang lain. Ketika itu Nabi SAW sedang membaca sepotong ayat Al-Quran yang bermaksud: " Wahai orang -orang yang beriman peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya daripada manusia dan batu-batu". Sahabat tua tadi bertanya kepada Nabi SAW adakah batu-batu di neraka sebesar batu-batu di dunia?
Nabi SAW menjawab: "Demi Dia yang nyawaku ditanganNya, sesungguhnya batu-batu di neraka adalah lebih besar daripada semua gunung-gunung di dunia ini".
Mendengar akan jawapan Nabi SAW tadi sahabat tua itu terus pengsan dan Nabi SAW telah meletakkan tangannya diatas dada sahabat tadi serta mentalkinkannya. Sejurus selepas itu, sahabat tadi pun meninggal dunia. Nabi SAW telah mengkhabarkan kepada sahabat yang lain bahawa dia adalah ahli syurga!

Begitulah keadaan para sahabat. Berita akhirat yang didengari dianggap sebagai sebagai satu realiti dan bukanlah khayalan semata-mata.

Persoalannya, sejauh manakah keyakinan kita terhadap adanya hari akhirat dan apakah amalan serta tindak tanduk kita di dunia ini dapat membina kehidupan kita yang berkekalan di akhirat nanti?
[Ustaz Abdul Kadir]

No comments: