Friday, 4 July 2014

Bagaimana Wanita yang Istihadhah Mengerjakan Solat Tarawih?

Bagaimana untuk seorang wanita yang istihadhah itu mengerjakan solat tarawih?
Jawapan : Dia boleh mengerjakan solat sunat selepas Isyak dan solat sunat Tarawih dengan wuduk solat Isyak tadi tanpa perlu memperbaharui wuduknya. Dengan syarat sebelum solat Isyak tadi, dia telah membersihkan farajnya dan mengenakan pad/kain dengan kemas dan ketat serta berwuduk. Disyaratkan juga tidak berlaku sebarang perkara yang membatalkan wuduknya selepas solat Isyak tadi seperti buang air kecil, kentut dan sebagainya.

Penjelasan : Asal bagi hukum seorang wanita yang istihadhah itu adalah sama seperti hukum wanita yang suci kecuali mereka ini perlu berwuduk setiap kali solat. Oleh itu, mereka itu boleh bersolat, berpuasa, membaca al-Quran, beriktikaf dan melakukan ibadah-ibadah lain sepertimana wanita yang suci.

Seperti yang disebut di atas, sekiranya wanita yang istihadhah itu hendak menunaikan solat fardhu, maka dia hendaklah berwuduk. Dan sebelum itu dia perlulah membersihkan farajnya dan mengenakan kain atau ‘pad’ padanya. Ia juga perlu diperkemas dan dikenakan dengan ketat untuk menghalang darah daripada mengalir keluar dengan banyak. Al-Imam al-Nawawi menyebut perihal mengenakan dan memperkemaskan kain untuk menutup faraj ini (atau disebutsebagai at-talajjum)  adalah wajib bagi wanita yang istihadhah sebelum mengerjakan solat fardhu. Kemudian barulah dia berwuduk. Perlu diingatkan di sini bahawa at-talajjum mesti mendahului wuduk. Hamnah radhiyallahu ‘anhadatang bertemu Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam mengadu mengenai istihadhahnya yang banyak. Lalu Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallammenyuruhnya supaya meletakkan kapas di tempat keluar darah. Hamnah memberitahu bahawa ia lebih banyak dari itu, darah tersebut berterusan mengalir keluar dan banyak. Lalu Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam menyuruhnya untuk meletakkan kain di tempat tersebut untuk menghalang darah. (Diriwayatkan oleh Ibn Majah. al-Albani berkata : Hasan)
Sekiranya darah keluar selepas dia membersihkan faraj dan mengenakan pad serta berwuduk, ia tidak membatalkan wuduknya dan solatnya. Dia boleh bersolat fardhu dan mengerjakan solat sunat sebanyak mana yang dia mahu selepas solat fardhu tersebut. Namun begitu, jika dia tidak mengenakan pad dengan baik lantas mengakibatkan darah mengalir keluar, maka dengan itu terbatallah wuduknya dan solatnya. Jika ini berlaku selepas solat fardhu maka dia tidak boleh mengerjakan solat sunat.
Menurut Mazhab Syafie, wanita istihadhah tidak boleh mengerjakan 2 (atau lebih) solat fardhu dengan satu wuduk kerana wajib berwuduk sebelum solat disebabkan sesuatu yang keluar dari faraj (dan dalam kes ini darah). Fatimah bint Abi Hubaisy didatangi istihadhah, lalu Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata kepadanya : “Sesungguhnya darah haid itu adalah hitam dan ia dikenali oleh wanita. Jika ia demikian maka janganlah solat. Tetapi jika ia lain dari itu, maka berwuduklah dan solatlah. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasa’ie dan disahihkan oleh Ibn Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi. Al-Hakim berkata : Sahih atas syarat Muslim) Tetapi dia boleh mengerjakan solat sunat dengan wuduk solat fardhu tadi sebanyak mana yang dia kehendaki. Ini kerana solat sunat itu banyak, jika dia perlu berwuduk setiap kali hendak solat sunat maka itu pasti akan membebankan.
Allahu’alam.
Rujukan : Al-Nawawi, al-Majmu’, 2/492-493 & Dr. Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal, 1/172.

No comments: