Bagaimana
untuk seorang wanita yang istihadhah itu mengerjakan solat tarawih?
Jawapan :
Dia boleh mengerjakan solat sunat selepas Isyak dan solat sunat Tarawih dengan
wuduk solat Isyak tadi tanpa perlu memperbaharui wuduknya. Dengan syarat
sebelum solat Isyak tadi, dia telah membersihkan farajnya dan mengenakan
pad/kain dengan kemas dan ketat serta berwuduk. Disyaratkan juga tidak berlaku
sebarang perkara yang membatalkan wuduknya selepas solat Isyak tadi seperti
buang air kecil, kentut dan sebagainya.
Penjelasan :
Asal bagi hukum seorang wanita yang istihadhah itu adalah sama seperti hukum
wanita yang suci kecuali mereka ini perlu berwuduk setiap kali solat. Oleh itu,
mereka itu boleh bersolat, berpuasa, membaca al-Quran, beriktikaf dan melakukan
ibadah-ibadah lain sepertimana wanita yang suci.
Seperti yang disebut di atas, sekiranya wanita yang
istihadhah itu hendak menunaikan solat fardhu, maka dia hendaklah berwuduk. Dan
sebelum itu dia perlulah membersihkan farajnya dan mengenakan
kain atau ‘pad’ padanya. Ia juga perlu diperkemas dan dikenakan
dengan ketat untuk menghalang darah daripada mengalir keluar dengan
banyak. Al-Imam al-Nawawi menyebut perihal mengenakan dan memperkemaskan kain
untuk menutup faraj ini (atau disebutsebagai at-talajjum)
adalah wajib bagi wanita yang istihadhah sebelum mengerjakan solat
fardhu. Kemudian barulah dia berwuduk. Perlu diingatkan di sini bahawa at-talajjum mesti
mendahului wuduk. Hamnah radhiyallahu ‘anhadatang
bertemu Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam mengadu mengenai
istihadhahnya yang banyak. Lalu Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallammenyuruhnya
supaya meletakkan kapas di tempat keluar darah. Hamnah memberitahu bahawa ia
lebih banyak dari itu, darah tersebut berterusan mengalir keluar dan banyak.
Lalu Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam menyuruhnya untuk
meletakkan kain di tempat tersebut untuk menghalang darah. (Diriwayatkan oleh
Ibn Majah. al-Albani berkata : Hasan)
Sekiranya darah
keluar selepas dia membersihkan faraj dan mengenakan pad serta berwuduk, ia
tidak membatalkan wuduknya dan solatnya. Dia boleh bersolat fardhu dan mengerjakan
solat sunat sebanyak mana yang dia mahu selepas solat fardhu tersebut. Namun
begitu, jika dia tidak mengenakan pad dengan baik lantas mengakibatkan darah
mengalir keluar, maka dengan itu terbatallah wuduknya dan solatnya.
Jika ini berlaku selepas solat fardhu maka dia tidak boleh mengerjakan
solat sunat.
Menurut Mazhab Syafie, wanita istihadhah tidak
boleh mengerjakan 2 (atau lebih) solat fardhu dengan satu wuduk kerana wajib
berwuduk sebelum solat disebabkan sesuatu yang keluar dari faraj (dan dalam kes
ini darah). Fatimah bint Abi Hubaisy didatangi istihadhah, lalu
Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata kepadanya :
“Sesungguhnya darah haid itu adalah hitam dan ia dikenali oleh wanita. Jika ia
demikian maka janganlah solat. Tetapi jika ia lain dari itu, maka berwuduklah
dan solatlah. (Diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasa’ie
dan disahihkan oleh Ibn Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi. Al-Hakim berkata :
Sahih atas syarat Muslim) Tetapi dia boleh mengerjakan
solat sunat dengan wuduk solat fardhu tadi sebanyak mana yang dia kehendaki.
Ini kerana solat sunat itu banyak, jika dia perlu berwuduk setiap kali hendak
solat sunat maka itu pasti akan membebankan.
Allahu’alam.
Rujukan : Al-Nawawi, al-Majmu’, 2/492-493 & Dr.
Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal, 1/172.